Semasa

Beronok di Langkawi Spesies Unik

Perkongsian

beronok 1

Jika anda ke bumi lagenda Mahsuri, tidak dapat tidak pasti akan merasai juga hidangan berasaskan hidupan laut ini. Khusus bagi penggemar hidangan eksotik, mereka tidak akan melepaskan peluang merasai keenakan timun laut ini. Beronok atau nama saintifiknya Acaudina Molpadioides  cukup terkenal dalam kalangan penduduk Langkawi dan bagi komuniti asli di Langkawi khususnya warga emas, hidangan tengahari pasti tidak lengkap tanpanya.

Dahulunya, beronok ini tidak langsung menjadi harga kerana terlalu banyak memenuhi kawasan Pantai Cenang. Dikatakan bahawa, penduduk hanya perlu mengutipnya di pantai jika ingin dijadikan santapan dan tidak perlu membeli seperti sekarang. Sehinggakan pada satu ketika dahulu, beronok memenuhi segenap pasir pantai sehingga kanak-kanak yang bermain-main di pantai terpaksa memijaknya sahaja. Namun senario tersebut hanya tinggal kenangan kerana pulau Langkawi kini telah diusik pembangunan yang pesat. Jika dilihat kawasan di pantai Cenang sendiri, tempat ini dipenuhi dengan hotel, chalet,  restoran, gerai-gerai pakaian, dan kompleks membeli-belah. Keadaan ini sedikit sebanyak telah menganggu habitat beronok. Hingga kini, beronok hanya boleh didapati di pasar tani dan jika adapun di pantai, ia hanya berlaku pada musim-musim tertentu.

Hidupan laut ini difahamkan hanya akan diperoleh di perairan Langkawi sahaja. Beronok bertekstur seperti gamat, dan ianya berwarna coklat kemerah-merahan. Warna yang seakan kemerah-merahan dan bersaiz sedikit besar ialah beronok yang usianya sudah matang dan sangat liat. Jadi, untuk dijadikan santapan , hanya beronok ‘muda’ sahaja akan dikutip dan dijual. Walaupun berisi kenyal seperti sotong, tetapi rasanya sedikit masin. Hal ini kerana, beronok hidup di kawasan perairan air laut yang masin dan berselut.

Tidak boleh dimasak ! ini adalah salah satu keunikan beronok. Hidupan laut ini tidak boleh dimasak dan hanya dimakan mentah. Beronok akan mencair apabila terkena haba. Justeru, tidak hairanlah jika dimasak atau direbus , timun laut ini akan mencair menjadi air masin semula. Unik bukan? Lazimnya, beronok hanya digaul-gaul bersama beberapa rencah dan dijadikan kerabu. Hidangan kerabu beronok ini sebenarnya saling tidak tumpah dengan hidangan kerabu timun, mangga, taugeh dan pucuk paku. Beronok akan dipotong dia kedua-dua hujungnya, dan disiang di bahagian tengah untuk mengeluarkan selut dan air masin di dalamnya. Kemudian, ia akan dihiris senipis mungkin dan siap untuk digaul bersama rencah kerabu seperti kerisik, sambal kelapa, bawang, cili, lengkuas serta daun gajus yang siap diracik.

kerabu beronok

Menurut pembuat kerabu beronok, Jah Ahmad, 84, “oleh kerana sifat beronok yang kenyal dan licin, gunakan pisau tajam untuk membuat hirisan nipis dan berhati-hati ketika memotongnya. Ia juga memerlukan ketelitian dan kesabaran tinggi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Jah, selepas siap dihiris nipis, bronok perlu dibersihkan dua hingga tiga kali sebelum ditapis bagi mengelakkan ia berair. Walaupun sering dijadikan kerabu, beronok juga dimakan mentah begitu sahaja oleh penduduk di sini. Rasanya yang rangup seperti tulang lembut ayam, dikatakan juga enak dimakan begitu sahaja.

Penduduki jati Langkawi yang hanya mahu dikenali sebagai Li berkata, selain mengutipnya di pantai, kebanyakan nelayan sekarang lebih gemar menggunakan jaring panjang yang boleh sampai ke dasar lautan yang berselut. Hasil tangkapan juga akan menjadi lebih banyak berbanding sekadar mengutipnya di persisiran pantai.

Oleh kerana kini, beronok hanya boleh didapati pada musim tertentu sahaja, harganya dikatakan agak mahal berbanding dahulu. Namun, bagi yang berkesempatan bercuti di pulau peranginan indah ini, adalah sangat rugi jika tidak berpeluang merasai sendiri hidangan eksotik ini. Bagi penduduk sekitar pulau ini, mereka lebih gemar membuat kerabu mengikut selera mereka sendiri berbanding membelinya di kedai.

Walaupun rupanya seakan agak menggelikan segenap pelancong yang melihatnya buat pertama kali, beronok dikatakan telah menjadi hidangan yang wajib disediakan di restoran-restoran di Langkawi. Malah, dahulu hidangan kerabu beronok ini merupakan hidangan wajib semasa keraian, namun keadaan berubah apabila kini, beronok agak sukar diperoleh dalam jumlah yang banyak.

Menurut seorang pelajar dari Universiti Sains Malaysia (USM), Suliza Kasni, 23, “walaupun bronok agak menggelikan apabila pertama kali melihatnya, tetapi ketahuilah bahawa ia memang enak apabila disajikan sebagai kerabu walaupun rasanya sedikit masin dan kenyal”, katanya yang terlibat dalam pembikinan dokumentari hidupan laut ini.

Suliza berpesan kepada pengunjung yang datang ke Langkawi agar tidak melepaskan peluang untuk merasainya sendiri.

Perkongsian

Comments

comments

Klik Untuk Dapatkan Artikel Terkini Di SmartPhone Anda
Telegram:
telegram.me/kisahdunia


P/s: Terima kasih sudi membaca dan share. Jangan lupa tag nama kekawan korang dalam komen.

Mohon kerjasama untuk klik SHARE artikel ini supaya nampak lebih aktif. Terima Kasih
ibeli4u
carikerja4u

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply