Jika pernah mendengar cerita zaman dahulu, ada dalam kalangan masyarakatnya berkahwin seawal usia 15 tahun dan menjadi ibu bapa pada umur yang dikira masih mentah.

Namun, keadaan itu dilihat bukan satu masalah, malah dijadikan sebagai kayu pengukur dan pendorong kepada golongan remaja hari ini untuk berkahwin dan memiliki anak pada usia muda.

Maka, tidak hairanlah jika peratusan ibu bapa muda dalam negara hari ini menunjukkan peningkatan setiap tahun.

Gambar Hiasan

Bagaimanapun, adakah golongan remaja hari ini benar-benar memahami tanggungjawab dalam perkahwinan dan memiliki anak? Adakah mereka cukup bersedia untuk menggalas peranan yang jika tersilap langkah, buruk padahnya.

Revolusi negara menyaksikan kemajuan pelbagai aspek termasuk bidang pendidikan, ekonomi dan sosial. Kesemua aspek tersebut memainkan peranan dalam pembentukan golongan muda hari ini. Seperti yang dilaporkan dalam laman portal Utusan Online, terdapat pelbagai respon netizen mengenai kahwin muda.

Buat keputusan tepat

TIDAK salah berkahwin dan mempunyai anak pada usia muda, namun adakah anda benar-benar yakin bahawa keputusan itu paling tepat?

Ramai remaja hari ini menganggap perkahwinan itu mudah dan memiliki anak juga tidak menjadi masalah untuk mereka menikmati kehidupan sebagai remaja.

Namun, perlu diingatkan bahawa tanggungjawab dan cara hidup mungkin sedikit berbeza apabila sudah berkahwin dan memiliki anak.

“Hal ini kerana, jika sebelum berkahwin mungkin anda gemar keluar menonton wayang bersama rakan-rakan, namun aktiviti itu perlu dikurangkan apabila sudah berkahwin dan memiliki anak.

“Remaja yang sudah berkahwin perlu menjalankan tanggungjawab dengan penuh ikhlas dan istiqamah bagi menjamin rumah tangga yang dibina berkekalan dan bahagia.”

Sehubungan itu, golongan remaja perlu berfikir dengan matang sebelum membuat keputusan untuk berkahwin dan mempunyai anak kerana perkahwinan bukan hanya untuk waktu sementara.

“Memang perkahwinan itu dilihat sebagai cara terbaik untuk mengelak golongan remaja terjebak dalam gejala maksiat, namun perkahwinan bukan untuk seksual semata-mata, tetapi lebih kepada tanggungjawab dan apabila sudah menjadi ibu bapa, tanggungjawab itu akan menjadi lebih besar dan jika gagal melaksanakannya dengan baik, sudah tentu menimbulkan banyak masalah. – AIN FATIN HUSNA 
MOHD. KHAIRUL AMIN, 24

Gambar Hiasan

Fahami niat sebenar berkahwin dan miliki anak

SETIAP pasangan yang berkahwin akan mengimpikan rumah tangga yang bahagia berpanjangan serta dikurniakan anak sebagai pelengkap kehidupan.

Bagi golongan remaja, tanggungjawab yang bakal dipikul selepas berkahwin dan memiliki anak adalah sama seperti kebanyakan pasangan berkahwin yang lain.

Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datin Noor Aziah Mohd. Awal berkata, remaja hari ini disifatkan lebih berani melakukan pelbagai perkara dan ada di antaranya melangkaui perbatasan usia.

“Tidak salah untuk berkahwin kerana dalam Islam, perkahwinan itu dapat mengelakkan lelaki dan perempuan terjebak dalam perbuatan zina. Namun, perlu difahamkan bahawa perkahwinan bukanlah bertujuan seksual semata-semata, sebaliknya terdapat tanggungjawab dan peranan yang lebih serius melibatkan kehidupan seharian,” katanya.

Kebiasaannya, selepas berkahwin dalam usia muda, banyak perkara perlu dilupakan termasuk menyambung pendidikan, melakukan kerja yang diimpikan atau mencapai hasrat yang disimpan sebelum berkahwin.

Kesemua faktor itu boleh mendorong golongan remaja untuk berfikir sama ada adakah perkahwinan dan memiliki anak dalam usia muda merupakan satu langkah terbaik?

Noor Aziah memberitahu, jangan samakan keadaan dahulu ketika nenek moyang kita berkahwin pada usia muda dengan situasi hari ini kerana banyak bezanya.

“Dulu, nenek moyang kita sudah dibiasakan dengan kerja-kerja rumah, sekolah pun tak habis dan akhirnya berkahwin dalam usia muda. Mereka tidak mempunyai masalah untuk menyara anak dan keluarga biarpun tiada pendidikan tinggi.

“Zaman sekarang pula, belajar pun tidak habis dan buat kerja rumah pun masih tidak mahir. Macam mana nak kahwin, jaga suami dan anak? Perkara remeh itu perlu dititikberatkan kerana kehidupan rumah tangga bukan hanya hidup berpasangan,” ujarnya.

Gambar Hiasan

Yakin mampu laksana tanggungjawab

SIKAP yakin dan rajin berusaha menjadi kunci utama dalam menghadapi cabaran berkahwin serta memiliki anak pada usia muda.

Sama seperti kebanyakan remaja lain yang pada mulanya, berfikiran bahawa kahwin muda itu adalah sukar lebih-lebih lagi tiada kerjaya yang stabil, simpanan kewangan mencukupi dan faktor lain.

Bagaimanapun, takdir tuhan menentukan perkara yang paling dirisaukan iaitu berkahwin muda akhirnya terjadi dan dengan hati yang terbuka menerimanya sebagai satu cabaran untuk melayari kehidupan.

“Berkahwin pada usia 25 tahun dan setahun kemudian dikurniakan seorang cahaya mata, kehidupan saya kini lebih bahagia dan lengkap biarpun pada mulanya berdepan dengan pelbagai kesukaran.

“Kini, saya menjadi suri rumah sepenuh masa, namun sokongan kuat dari suami dan keluarga menjadikan saya yakin dengan perkahwinan yang dibina.”

Tidak menafikan pelbagai faktor perlu diambil kira sebelum membuat keputusan untuk berkahwin dan memiliki anak pada usia muda, namun sikap terbuka dan berfikiran luas membantunya menjalani kehidupan harian sama seperti pasangan suami isteri yang lain.

“Bukan saya nak cakap kahwin dan miliki anak pada usia muda itu mudah, namun jika sudah ke arah itu, lakukan dengan sebaik mungkin mengikut kemampuan dan juga istiqamah dengan semua yang berlaku. – NURUL ‘AFIFAH YAZID, 27

Kahwin matangkan kehidupan

TIDAK mengambil kira pandangan serong sesetengah pihak yang menganggap berkahwin muda hanya kerana ingin menghalalkan hubungan, ikatan perkahwinan yang baru dibina setahun mengajarnya pelbagai perkara dan yang paling penting, mematangkan kehidupan.

“Pada mulanya, keluarga tidak setuju apabila saya menyatakan hasrat ingin berkahwin kerana pada masa itu, saya masih belum habis belajar di universiti dan sudah tentu belum bekerja.

“Namun, sikap iktikad yang ada, saya gunakan untuk melangsungkan perkahwinan. Alhamdulillah, kini saya sudah mempunyai pekerjaan yang stabil dan mampu untuk menyara keluarga.”

Perkahwinannya diserikan pula dengan kehadiran orang ketiga yang dianggap sebagai rezeki paling bernilai daripada Allah SWT.

Apabila berbicara mengenai anak, sudah tentu pelbagai perkara dan persiapan perlu dilakukan bagi menyediakan yang terbaik untuk si kecil.

Mengakui pada mulanya tidak tahu apa yang harus disediakan, selain bimbang dengan simpanan kewangan yang ada, kehadiran cahaya mata tetap disambut dengan penuh syukur dan bahagia.

“Antara perkara yang perlu dititik beratkan termasuk kewangan dan persiapan mental yang kuat bagi mengelakkan rasa putus asa apabila berdepan dengan kesukaran. – MOHD. FARID 
MOHD. ADNAN, 27

Gambar Hiasan

Kahwin jangan ikut trend

SABAN hari, pasti kita akan menerima jemputan perkahwinan daripada rakan-rakan menerusi aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook.

Bagi sesetengah remaja, jemputan sedemikian meresahkan mereka kerana beranggapan, ramai kawan-kawannya sudah ingin berkahwin, namun dia masih belum mempunyai kekasih atau calon yang sesuai biarpun usia baru melangkau 22 tahun.

“Pada pandangan saya, jika ingin berkahwin biarlah cukup segala ilmu di dada termasuk kesediaan melayari rumah tangga dan faktor-faktor sokongan seperti kewangan mencukupi, kerjaya stabil dan kemampuan melaksanakan tanggungjawab yang berat.

“Jangan berkahwin ikut trend atau apabila tengok rakan-rakan sudah ramai yang kahwin, sedangkan anda sendiri tidak tahu adakah perkahwinan itu senang atau sebaliknya”.

Tidak kisah jika ingin berkahwin pada usia muda sekiranya kewangan mencukupi dan mental serta fizikal cukup kuat untuk menghadapi cabaran yang bakal tiba.

Bagi pasangan muda yang masih belajar dan sudah berkahwin, bahkan memiliki anak, mereka pasti mempunyai cara tersendiri untuk menguruskan kehidupan dan kita seelok-eloknya jangan memandang serong kerana mereka.

Apa pula pendapat anda?