Semasa

Mekanik dakwa dipukul polis, dipaksa mengaku salah

Perkongsian

[IMG]
JAMALIAH menunjukkan kecederaan yang dialami Muhammad Zul Farhan.

[IMG]
KEADAAN jari kelingking kiri Muhammad Zul Farhan yang bengkak teruk akibat didakwa dipukul anggota polis ketika dalam tahanan.

Alor Setar: Seorang mekanik mendakwa dibelasah sehingga hampir pengsan oleh dua pegawai polis ketika dalam tahanan reman, malah disebat menggunakan kabel dalam usaha memaksa dia mengaku terbabit dalam kejadian samun.

Muhammad Zul Farhan Zulkifli, 23, dari Kampung Alor Merah, di sini, mendakwa kejadian berlaku jam 3.30 petang, 6 November lalu selepas dia ditahan enam anggota polis di sebuah bengkel motosikal milik rakannya di Taman Awana, Jalan Langgar.

Dia yang ketakutan ketika itu melarikan diri sejauh 300 meter kerana menyangka dikejar sekumpulan penjahat namun menyerah diri sebaik kumpulan terbabit memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Bagaimanapun, katanya, tindakannya itu mengundang padah apabila dibelasah kumpulan anggota polis sehingga hampir pengsan.

“Mereka kemudian membawa saya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk siasatan. Ada antara anggota itu bertanyakan sama ada saya mahu mengaku atau tidak terbabit dalam kes samun, namun jawapan ‘tidak’ diberikan menyebabkan mereka naik angin dan terus memukul termasuk menggunakan kabel setebal hampir empat sentimeter.

“Ketika itu saya hanya mampu merayu dan menahan kesakitan, namun mereka terus memukul tanpa memberi peluang kepada saya memberi kenyataan,” katanya.

Menurutnya, selepas dua jam dia dimasukkan ke dalam lokap sebelum dibebaskan dua hari kemudian berikutan didapati tidak bersalah.

“Saya diberitahu pada malam kejadian oleh rakan bahawa seorang lelaki bernama Azri berusia 40-an datang ke balai mengaku terbabit dalam kejadian gaduh dan samun seperti yang didakwa anggota polis terbabit.

“Saya terkilan dan kecewa dengan apa yang berlaku. Saya tidak bersalah, tetapi dituduh sebagai penjenayah tanpa diberi peluang untuk membela diri.

“Saya tidak pasti sama ada ini adalah prosedur operasi standard (SOP) polis menjalankan siasatan namun apa yang dilakukan terhadap saya agak kejam.

“Akibat kejadian ini saya mengalami luka teruk pada jari tangan, paha dan punggung berikutan disebat menggunakan kabel selain tidak dapat bekerja,” katanya.

Ibunya, Jamaliah Saad, 50, berkata, kejadian yang menimpa anaknya seumpama satu penganiayaan kerana dia tidak bersalah, malah tidak diberi peluang membela diri.

“Sebaik mengambilnya di balai polis, saya terkejut melihat keadaannya yang cedera. Pakaiannya dipenuhi darah, malah tidak boleh berjalan betul selain badannya mengalami bengkak akibat disebat serta dipukul,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci terhadap dakwaan dilakukan mangsa.

“Ini adalah dakwaan yang amat memalukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah. Kita akan menjalankan siasatan terperinci,” katanya. – Metro

Perkongsian

Comments

comments

Klik Untuk Dapatkan Artikel Terkini Di SmartPhone Anda
Telegram:
telegram.me/kisahdunia


P/s: Terima kasih sudi membaca dan share. Jangan lupa tag nama kekawan korang dalam komen.

Mohon kerjasama untuk klik SHARE artikel ini supaya nampak lebih aktif. Terima Kasih
ibeli4u
carikerja4u

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply